Woih Like Lah!!!

Thursday, July 11, 2013

Roti Cokelat dan Susu Strawberi

Aku sedang lena diulit mimpi masa aku dengar suara kecil Hasya....- "Nak..nak..nak.."- sambil goyang-goyang badan aku minta ehsan temankan dia ke peti ais. Mana pulak Puan Feeza ketika aku benar-benar perlukan kehadiran beliau? Sikiiiit lagi Shila Hamzah nak muncul bergitar sambil dendang lagu Ombak Rindu dalam mimpi aku tadi. Kacau!
 
Dalam separa sedar aku gagahkan diri temankan Hasya ke peti ais bagi mengelakkan aksi hentak-hentak kaki berirama berlaku selepas itu. Hasya ambil air susu strawberinya. Dalam perjalanan dari dapur ke ruang tamu, beliau singgah sebentar mencapai roti cokelat gardinia yang masih kemas bersalut.

Kami duduk di sofa. Televisyen di buka. Tak sampai seminit Hasya pun bersuara.

"Nanak..nanak..nanak.." - geleng-geleng kepala sambil hulur roti cokelat dan susu strawberi.

Ini yang aku pantang kalau membazir. Aku pun apa lagi bagilah tazkirah pagi pada anak aku yang baru nak masuk 2 tahun tu. Aku jelaskan macam mana susahnya orang kat Somalia tu nak makan. Bla..bla..bla..Dekat 5 minit jugak aku merungut panjang. Hasya hanya mampu terkelip-kelip memandang muka aku dengan wajah sayu. Mungkin sebentar lagi akan berlaku jeritan setinggi 113 dB dari beliau.

Sambil terus merungut, aku masukkan roti cokelat dalam mulut aku. Aku kunyah penuh nikmat. Aku hirup air susu strawberi dengan perlahan demi menikmati kesejukkannya melalui kerongkong aku yang kering. Burrrp..aku sendawa kecil.

"Abang!!!Puasalah!!!" - satu suara yang cukup aku kenal kedengaran dari belakang aku. Aku terkedu. Bulan Ramadhan rupanya. Macam mana aku boleh lupa. Ni macam mana kira puasa aku ni? Nak kena pergi mamak order beriyani kuah campur ayam madu dengan teh ais ke?

No comments:

Post a Comment