Woih Like Lah!!!

Wednesday, July 12, 2017

Tribute To Chris Cornell

Chris Cornell ni dulu aku kenal dari seorang member tabligh aku. Satu hari tu dia kelam kabut masuk ke dalam bilik dengan menjinjing sekeping CD. Bukan di gigi tapi di hujung jejarinya yang runcing. Sahabatku yang lincah bagai pendekar tangan satu ini kelihatan termengah-mengah. Mungkin beliau baru selesai usroh dan solat jemaah di surau asrama.

"Woih ni ada band baru Audioslave. Supergroup dari RATM + Soundgarden," kata beliau dalam nada kelam kabut dengan kopiah putih masih melekat atas kepalanya.

Aku yang sedang mengarang puisi segera berpaling memandang wajah beliau secara mendalam. Atas bibirnya ada titisan peluh. Mungkin akibat adrenalinnya yang sedang laju merembes dek kerana begitu gigih dan semangatnya beliau mahu menyampaikan kehebatan muzik supergroup ini.

Tak menunggu lama aku terus copy album tersebut ke dalam PC seorang lagi member aku. Ya, aku memang takde PC masa tu. Menumpang simpan lagu pun dekat PC member. Sejak dari itu aku mula mengkaji siapa sebenarnya pemilik suara hebat ini. Lagu ciptaan dan tulisan liriknya tak terkalahkan. Figura muzikal bernama Chris Cornell ini berjaya mengikat halwa gegendang aku.

Dengan usia aku yang sesedap ini aku terpaksa rewind segala karyanya sebelum Audioslave. Sebenarnya agak lambat aku mengenalinya sebab grunge bukan jenis muzik yang aku fanatik minat. Takpelah pun lambat asalkan bukan minat jenis yang Aiman Tino.

Selepas dari itu aku tak pernah berhenti mengagumi hasil seni beliau. Dan akhirnya beberapa hari lepas aku menerima berita sedih kehilangan beliau dari dunia ni. Emosi bercampur baur dan tak semua orang dapat merasai perasaan seperti ini.

Selamat jalan Chris Cornell.



Tuesday, July 11, 2017

Mira Filzah II

Mira Filzah cuba memegang dan meramas tangan aku yang berurat seribu. Secara santun aku membalas dengan tolakan ikhlas. Tidak mahu bersentuhan dengan yang bukan muhrim. Dalam hatiku menjadi pelik. Kenapa makwe bertudung sepertinya mahu melanggar batasan agama Islam? Adakah aku sehebat Sulaiman? Setampan Yusof? Seteguh Ibrahim? Segera aku beristighfar panjang agar togel riak dalam hatiku ini.

"Sebenarnya Mira..sebenarnya..sebenarnya.."

Aku mula menutur kata sehabis manis sambil memejam rapat mata bundar ini.

"Sebenarnya Mira..sebenarnya..sebenarnya.."

"Sebenarnya apa bang? Sebenarnya dah 6.15 pagi. Bangun bang. Bangun. Mandi besiap pergi kerja."

Suara yang paling aku kenal terus menusuk ke lobang telinga aku secara tegas bagai askar pencen.

Perlahan-lahan aku membuka mata. Terpacak Feeza di depan aku. Terus aku menjadi segar bugar dan melakukan balik kuang ke bilik air. Huh!



Sunday, July 9, 2017

Mira Filzah

Semalam aku dengan HadsyaLurve Feez rileeeeks tengok drama raya seketol lakonan Mira Filzah dengan Syafik Kyle. Bukan calang-calang pelakon yang boleh bukak hijab aku untuk menengok drama Melayu ni.

Dalam drama ni Mira Filzah jadi buta. Atok dia yang jaga. Watak ini dipegang oleh Razak Ahmad. Sedang aku leka menengok lenggok Mira Filzah teraba-raba berjalan dengan tongkat sambil ditemani atoknya, aku terus bersuara secara cermat.

"Sedap jugek dapat berlakon jadi atok ni ek."

Masih tak ada respon dari Feeza.

Drama berjalan seperti kebiasaan drama raya melayu sendu yang lain-lain. Anak kurang ajor dengan mak tak nak balik raya. Mak nangis mintak duit anak nak buat kenduri. Hero kurang ajor angkuh dan eksyen. Biasa. Tiada yang luar biasa. Sehinggalah satu babak Mira Filzah duduk termenung sopan di tangga rumah dengan berbusana baju kaftan kelawar. Namum santunnya tetap dijaga dengan memakai baju inner berwarna hitam di sebelah dalam.

Semakin dalam aku menengok Mira Filza, aku jadi semakin gelisah. Aku mesti bertindak. Aku membuka mulut dan bersuara gelojoh.

"Sedap jugek kalau dapat berlakon jadi inner ni. Hnnnnnnnshhh..hnnnnnnshhh."

Tiba-tiba pedih terasa seluruh belakang dan perut aku. Sudah ada respon dari Feeza. Sedap jugek kena cubit bertubi tubi tanpa belas kasihan ni. Padan.