Woih Like Lah!!!

Tuesday, May 31, 2016

MARA KE HADAPAN

MARA KE HADAPAN


"Puan kena setelkan bayaran ni. Kalau tidak kami hantar peguam, mari kita berlawan dekat mahkamah."

Masih terngiang-ngiang lagi bagaimana tegasnya seorang pegawai Mara bercakap di corong telefon kepada Feeza. Aku yang mendengarnya hanya tertunduk lesu. Sebenarnya baki hutang Mara tu sudah lama selesai pada tahun 2012. Dua orang adik Feeza pun dah selamat mendapat bantuan pinjaman Mara. Malangnya MARA masih telefon dan beri tahu Feeza masih berhutang.


~~Di hadapan Menara MARA~~

Aku mendongak memandang menara MARA dengan satu pandangan yang paling sayu. Terus aku teringat kata-kata Najib Razak.

"Jika dihitung mungkin lebih empat juta orang telah mendapat faedah daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara) sejak ia ditubuhkan pada 1966. Mereka terdiri daripada golongan pelajar, usahawan, ahli perniagaan, petani, pekerja sektor awam atau swasta, pesara dan sebagainya. Ramai daripadanya telah berjaya dan mengecapi nikmat dalam bidang yang diterokai atau dalam kerjaya masing-masing."

Secaara tiba-tiba apabila aku terbayangkan bibir merahnya, aku menjadi geli hati. Hiks.

"Mari kita masuk," sambil aku paut tangan Feeza seerat mungkin takmau kasik lepas punya.

Di ruang legar lobi MARA ada pelbagai jenis jualan daripada pengusaha Melayu. Tiba-tiba Feeza memuncungkan mulutnya ke arah sebuah kedai. Apabila aku perhati secara teliti kedai berwarna pink itu tertera dengan tulisan 'PAMOGA QU PUTIH'.

"Yolaaaah..kalau bukan Melayu yang tolong Melayu, siapa lagi...?" ujar aku kepada Feeza.


~~Di kaunter pendaftaran lobi~~

"Kami nak pergi bahagian kawalan kredit. Tingkat berapa ek?"

Makcik pengawal berbadan besar bertopi senget serta berkumis nipis memandang aku dengan muka garang.

"Dekat kertas tu kan dah ada tulis."

Sambil beliau menunjuk pada kertas yang aku pegang. Terkocoh-kocoh aku membuka kertas yang aku sudah lipat empat itu. Ini penyata akaun MARA Feeza. Mana mungkin ada tertulis lokasinya.

"Tak ade tulis dekat sini Makcik."

"Tingkat tigalah!" Makcik pengawal berbadan besar bertopi senget serta berkumis nipis bernada menengking. Aku terkebil-kebil menahan berak. Handal jugak MARA letak pengawal yang tinggi budi bahasa macam gini. Selepas mengambil pas. Kami pun berlalu menaiki lif ke tingkat 3.


~~Di tingkat tiga bahagian kawalan kredit~~

Aku perhatikan ramai juga yang menunggu giliran. Namun hanya satu sahaja kaunter yang aktif. Orang lain tu mungkin sudah ada pegawai MARA yang melayani mereka barangkali. Sekadar bersangka baik.

"Encik nak berurusan dengan pegawai MARA ke?" Entah dari mana muncul anak muda lalu menghulurkan template survey kepada kami.

Feeza memandang aku dengan satu senyuman yang paling manis sambil terangkat-angkat keningnya. Dengan penuh lincah kami pun mengisi template survey dengan penuh bergaya dab bertanggungjawab.

Akhirnya nombor kami dipanggil.

"Bayaran ni sudah masuk ke akaun orang lain ni. Nombor resitnya sama. Mujur awak simpan resit ni. Kami tabolena buat apa ni. Puan kena pergi bahagian kewangan tingkat 14. Betolkan tingkat 14 Kamarul Izham?" Akak kaunter bertanya kepada rakan di sebelahnya. Tanpa memandang, Kamarul Izham mengangguk penuh yakin mengiyakan apa yang akak kaunter tu cakapkan.

"Tapi tingkat 14 takde butang dia dekat lif tu. Awak kena pergi ke tingkat 15, kemudian turun setingkat guna tangga." Akak kaunter menambah pesanan.

Aku dan Feeza bertukar pandangan dengan mata terbeliak tak percaya punya. Sebelum beredar kami serahkan semula template survey kepada anak muda tadi.


~~Di tingkat empat belas bahagian kewangan~~

Sunyi. Sepi. Pintu cermin ternganga luas. Kertas surat khabar dan entah apa lagi bersepah memenuhi ruang lantai. Seperti baru sahaja dilanggar zombie tempat ini. Kami berdua berasa seram sejuk. Secara tiba-tiba ada sekumpulan Bangladesh berdiri cegat memandang kami. Lebih kurang 5 orang semuanya. Dengan muka seronok sendiri, Bangladesh tersebut tersenyum simpul melihat kami berdua. Ada antara mereka mula menjilat bibir. Manakala ada juga yang sudah mula seluk tangan kiri di dalam poket.

Aku dan Feeza buat muka tak tahu mende dengan gelagat Bangladesh tersebut. Kami terus memandang sekeliling. Pandangan kami terhenti pada satu kertas yang ditampal pada pintu cermin yang ternganga luas itu.

'Kerja naik taraf sedang dilakukan. Kami beroperasi sementara di tingkat 24'

Terus Feeza menyumpah dalam bahasa Negeri Sembilan. Aku yang berbangsa Johor rileeeeeks tekan butang lif untuk naik ke tingkat 24. Cilaka Kamarul Izham. Macam mana dia boleh konfiden nak mampos masa angguk kepala tadi? Kerja satu bangunan pun depa tak tau mana tingkat rakan yang lain?


~~Di tingkat dua puluh empat bahagian kewangan yang sebenar~~

"Nenek kena buat journal ni. Kasi bos semua tandatangan untuk betolkan semula rekod. Lambat jugaklah nak siapnya. Sebulan hingga ke dua bulan lebih. Tapi anak boleh telefon nombor ni untuk dapatkan updatenya kemudian nanti. Ni nama dan nombor bos nenek. Ni pula nama nenek."

Nak menitik air mata aku dan Feeza apabila seorang Makcik tua pegawai MARA yang membahasakan dirinya nenek menjelaskan dengan terperinci tentang apa yang perlu pihak MARA lakukan untuk diperbetolkan segala masalah.

Selepas melincah bagai pendekar ke atas dan ke bawah dalam bangunan MARA ni, akhirnya selesai sudah satu urusan. Mujur kami tapayana kena keluarkan duit. Kalau kena jugak tadi mesti sudah lain pula ceritanya.


~~Di kaunter pendaftaran lobi~~

Aku menghulurkan pas. Makcik pengawal berbadan besar bertopi senget serta berkumis nipis menyambut dengan cermat. Aku memandang buku catatan masuk tadi. Manalah tahu nak keluar kena tandatangan pulak.

"Dah amek IC sudahlah. Takde ape yang kena tulis lagi dekat buku tu!" Makcik pengawal berbadan besar bertopi senget serta berkumis nipis sekali lagi bernada menengking. Kali ini aku terkebil-kebil menahan kencing.


~~Di ruang legar lobi~~

"Saat mengaplikasikan foundation, pastikan tangan dalam keadaan bersih agar tidak muncul jerawat. Setelah mencuci wajah, oleskan segera pelembap dan jangan tunggu lebih dari 1 minit. Untuk menutupi bayangan hitam di bawah mata, oleskan concealer pada area ini sebelum memakai foundation. Aplikasikan secara perlahan dengan cara menepuknya menggunakan jari manis untuk menghindari penekanan berlebih. Inilah dia antara cara memakai alas bedak yang bagus."

Sementara menunggu Feeza ke mesin ATM, aku gagahkan diri untuk menonton seminar cara bermekap dengan betol yang turut berlangsung ketika itu. Semua yang duduk menonton adalah kaum wanita. Tinggal aku sahaja lelaki yang berdiri di tepi di antara celahan bau kepam yang bercampur wangian harumanis Cik Ta. Aku perhatikan semua majoriti mereka memakai tag MARA. Aku lirikkan mata ke arah jam tangan pula. Jam baru menunjukkan angka 11.30. Bagus betul bos MARA ni bagi anak buah turun secara pukal untuk belajar bersolek. Handal.

Begitulah setengah hari urusan kami di MARA. Yang elok jadikan tauladan. Yang buruk jadikan makian.

Nota: Kes MARA terlebih bayar hartanah di Australia dah selesai keeeeee? MARA ke hadapan ke macam mana ni?




No comments:

Post a Comment