Woih Like Lah!!!

Wednesday, October 29, 2014

Siri Bercakap Dengan MBSA.

Ingin Memohon Semburan Fogging Di Kawasan Pangsapuri Damai, Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

Sebenornya nak menangis jugak aku bila MBSA reply email aku tak sampai 43 minit. Oleh itu aku letak MBSA ni level cerdik dia atas dari TM dan ASTRO.

Mujur dia tak sound aku semula "Sebelum beli rumah tu, perhati dulu kawasan sekitarnya".

Semalam report MBSA, ini hari sudah datang tunjuk muka. Ya, tunjuk muka sekurang-kurangnya.

Bila aku teringatkan perangai TM dengan ASTRO, lagik aku rasa nak menangis. Begini lebih kurang sesi berbalas emailnya.

Kepada :-

Kementerian Kesihatan Malaysia
Majlis Perbandaran Shah Alam.

Ingin Memohon Semburan Fogging Di Kawasan Pangsapuri Damai, Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

Tuan/Puan,

Saya Muhammad Hadri Bin Abdul Kadir ingin meminta kerjasama pihak tuan/puan untuk memohon adakan semburan Fogging. Untuk makluman, Pangsapuri Damai, Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam sedang melalui proses penambahan pembinaan unit fasa baru. Ekoran dari ini terdapat banyak air bertakung dan nyamuk yang membiak di kawasan pembinaan berhampiran Pangsapuri Damai. Sudah semestinya ia akan merbahayakan kesihatan penduduk disini. Sebelum terjadi apa-apa pekara yang tidak diingini saya ingin meminta kerjasama pihak Tuan/Puan untuk mengadakan semburan Fogging di kawasan ini. Ia sekaligus dapat menepati kehendak kerajaan Negeri Selangor yang sedang dalam usaha membanteras habis-habisan bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes ini.

Diharap aduan ini mendapat perhatian pihak Tuan/Puan.

Terima Kasih.

Yang Benar,

MUHAMMAD HADRI BIN ABDUL KADIR

Assalam dan Salam Sejahtera
 
Untuk makluman, pihak jabatan menjalankan aktiviti semburan berdasarkan notifikasi kes demam denggi yang diterima dari pihak hospital sebagai aktiviti kawalan. Aktiviti semburan sebagai aktiviti pencegahan hanya dijalankan di kawasan-kawasan yang sedang mengalami wabak. Ini adalah selaras dengan Panduan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Demam Denggi/ Demam Denggi Berdarah yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Masalah yang telah dikenalpasti sekiranya membuat penyemburan berdasarkan permintaan adalah kekebalan nyamuk dewasa terhadap bahan kimia yang digunakan. Ini akan menyukarkan aktiviti kawalan di tempat yang memang berwabak untuk masa-masa akan datang.

Untuk pengetahuan, nyamuk Aedes mempunyai kitaran hidup yang pendek iaitu seminggu sahaja dari telur ke nyamuk dewasa. Memandangkan aktiviti semburan hanya membunuh nyamuk dewasa, dalam masa seminggu telur yang tidak dihapuskan akan menjadi nyamuk dewasa dan masalah ini akan berulang kembali.
Kaedah yang paling baik untuk mencegah wabak demam denggi adalah memastikan tiada pembiakan jentik-jentik di dalam kawasan rumah seperti alas pasu bunga, bekas jambangan bunga, kolah mandi, dulang peti sejuk dan pam tandas yang telah rosak. Penduduk dinasihatkan untuk meluangkan masa sepuluh minit seminggu bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes yang terdapat di persekitaran kawasan rumah. Penggunaan abate (ubat pembunuh jentik-jentik) di dalam tempat takungan air boleh dilakukan bagi mengelakkan pembiakan jentik-jentik. Selain dari itu, penggunaan aerosol khususnya pada waktu awal pagi dan lewat petang dapat membantu mengurangkan populasi nyamuk dewasa.

Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong digalakkan dijalankan oleh penduduk setempat bagi memusnahkan sebarang bekas yang berpotensi menakung air. Sekiranya tempat pembiakan dijumpai oleh kakitangan yang menjalankan pemeriksaan, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan terhadap penghuni premis.

Penggunaan insect repellant serta mengenakan baju dan seluar panjang semasa menjalankan aktiviti riadah di luar rumah amatlah digalakkan bagi menghindar dari gigitan nyamuk.
 
Dimaklumkan tiada kes denggi yang dilaporkan dari kawasan Apt Damai Seksyen 25.
 
Pihak jabatan akan menjalankan pemeriksaan terhadap tapak binaan/ tambah binaan seperti yang diadu.
 
Sekian terima kasih.  
 
Dr Ida Yanti bt Mohd Sofian
Timbalan Pengarah
Jabatan Kesihatan Persekitaran
Majlis Bandaraya Shah Alam

Posted via Blogaway

Posted via Blogaway


Posted via Blogaway

1 comment:

  1. cer jd ketua kampong...saya undi...I likeeeee..f332a

    ReplyDelete