Woih Like Lah!!!

Thursday, November 14, 2013

Taruddin The Sugar Candy Crush

Pada satu petang Jumaat yang nyaman dan burung sedang rancak berkicauan, dua orang sahabat karib, Taruddin dan Idlan Khozim duduk bersila di bawah pokok mangga melepaskan lelah mereka selepas penat memotong rumput di sekitar kawasan rumah. Mereka-Taruddin dan Idlan Khozim- menghirup teh tarik dengan tenteram.

"Kenapa kerajaan kita mengurangkan subsidi gula ek?," soal Idlan Khozim secara tiba-tiba memecah suasana damai. Burung yang sedang terbang pun segera bertenggek di atas pokok. Makhluk Tuhan paling lincah itu seperti turut berminat dengan soalan tersebut.

Taruddin mencampak rokok yang baru suku dihisapnya ke atas tanah dan memandang tepat ke arah Idlan Khozim.

"Sebenarnya macam ni, Idlan Khozim. Aku dah malas nak ulang lagi jawapan pasal gula ni. Ko ingat sampai mati apa yang aku nak cakap ni. Kerajaan mengurangkan subsidi bagi gula untuk membolehkan kita menjalani gaya hidup sihat. Harga gula yang rendah di Malaysia menyebabkan penggunaan berlebihan dan menyumbang peningkatan 105 peratus sejak 1996 hingga 2006 dari segi jumlah rakyat yang terlebih berat atau obesiti iaitu kini lebih berat atau obesiti iaitu kini lebih 40 peratus. Setiap tahun kita berdepan lima peratus peningkatan kes diabetes dan hampir 1.4 juta penduduk Malaysia sekarang menghidap penyakit itu. Dan apa yang paling penting kau kena tahu ialah gula di Malaysia paling murah di rantau ini berbanding Thailand dan Indonesia.
 
"Kah kah kah! Ko memang power," balas Idlan Khozim puas hati.
 
"Ye, aku tau. Kah kah kah!," gelak Taruddin lagi penuh angkuh.
 
"Kalau macam tu mulai sekarang aku akan kurangkan manis dalam makanan dan minuman. Dan aku akan tambahkan manis itu dalam senyuman," sambung Idlan Khozim sambil tersenyum semanis tebu.
 
"Kah kah kah! Ko pun tak kurang juga power-nya!"
 
Selepas puas bergelak ketawa memuji power masing-masing, mereka berdua pun meneruskan minum teh tarik dengan hati yang riang.
 
Begitulah kisahnya tuan-tuan dan puan-puan. 

1 comment: