Woih Like Lah!!!

Tuesday, October 8, 2013

The Chronicles of Taruddin: Rokok vs Minyak


The Chronicles of Taruddin: Rokok vs Minyak I

Petang semalam aku sekali lagi diajak keluar minum oleh Taruddin. Beria-ria benar dia nak minum dengan aku. Katanya dia dah lupakan kejadian ditumbuk dekat halkum tempohari. Aku menarik nafas lega. Taruddin ni memang spesis yang baik hati. Dah terlentang berbuih mulut pun masih setia dalam persahabatan. Bagi aku, dia ni adalah contoh kawan sejati.

Lebih kurang pukul 6 petang aku keluar rumah dengan berpakaian separa mantap. Mantap sangat pun tak elok, aku ni suami orang, bukan bujang. Bahaya untuk penglihatan anak dara. Aku menghidupkan enjin kereta nasionalku lalu memandu dengan tenang di atas permukaan jalan yang berlobang-lobang kerana aku sedang memandu di Klang bukan di Jemapoh. Di dalam pemanduan aku berfikir tentang majlis risik Zain Saidin terhadap Rozita Cik Wan yang lepas.

*****
 
Seperti biasa kedai mamak Ayza menjadi pilihan kami. Selepas kami memesan makanan dan minuman kepada mamak yang berpakaian konon-konon kacak, Taruddin pantas mula bercerita tentang persediaan kahwinnya yang tidak lama lagi akan berlangsung. Kahwin yang keberapa kali itu biarlah aku rahsiakan sahaja ye. Pelbagai benda yang dia risaukan. Aku cuba-cuba menjadi seorang sahabat yang mengambil berat dengan mendengar luahan hatinya.

"Lagi 3 minggu aku nak kahwin ni. Risau pula kalau masakan catering tak sedap. Kalau orang tak datang macam mana? Ini bukan musim cuti sekolah. Haisssh..jalan ke rumah aku tu pulak sempit, susah kereta nak parking. Kalau aku tiba-tiba demam macam mane tu? Lagi bahaya kalau hari kenduri tu nanti turun hujan.." - panjang lebar luahan Taruddin.

Dahiku berkerut mendengar apa yang dia sampaiakan. Ketika ini aku hanya mampu tersenyum kelat dan sesekali meletup-letupkan jari-jemari aku yang runcing ini. Bagi aku, ini semua jenis kerisauan yang macam gampang. Dah sahlah kau buat kenduri dalam dewan, apa kejadah yang jadi masalah kalau turun hujan? Sebenarnya darah aku dah mula nak naik juga masa ni, tapi mengenangkan sudah hendak masuk waktu maghrib, aku bercadang lepas makan dan minum nanti aku pergi sembahyang dulu bagi hati aku ni sejuk sikit. 

Lepas itu Taruddin mula menyelak sebuah akhbar arus perdana yang selalu merepek dalam melaporkan berita. Aku tidak pasti apa jenis penipuan yang si Taruddin ni sedang baca di dada akhbar.....

bersambung....

Apakah akan terjadi kepada Taruddin kali ini? Tenennennennennenet...(lagu closing title)

The Chronicles of Taruddin: Rokok vs Minyak II

Selepas itu Taruddin mula menyelak sebuah akhbar arus perdana yang selalu merepek dalam melaporkan berita sehelai demi sehelai. Aku tidak pasti apa jenis penipuan yang si Taruddin ni sedang baca di dada akhbar. Dia kemudiannya mula berleter sorang-sorang secara perlahan. Desibel suara beliau rendah dan kedengaran seperti beliau sedang bermonolog. Apalah yang nak dibebelkan dengan penipuan akhbar. Kau takkan tak tahu yang akhbar dengan penipuan sudah semacam saudara mara. Mereka akrab. Sukar dipisahkan. Sempat aku getus komen sendiri di dalam hati.

"Kau tengok ni, minyak naik harga pembangkang sanggup tolak motor berkilo meter nak protes. Kononnya demi rakyat. Ini bila rokok naik harga tak pulak dia nak protes demi rakyat. Bodoh dungu piang punya macai. Bangang tahap gaban. Sebab itu aku cakap dia orang ni bangkang dari longkang."

Aku mengambil pendekatan bertenang apabila berhadapan dengan situasi seperti ini. Hendak aku renjis dengan air yassin, takde pulak aku bawak sebagai bekalan. Cuma kerambit dalam poket aku ni meronta-ronta macam Lightsaber yang kehausan darah Darth Maul.

Aku memandang langit bumi yang beransur gelap. Tatkala menoleh ke ufuk, matahari kian merunduk memancarkan cahaya merah tembaga. Waktu senja seperti ini kata orang tua banyak syaitan dan iblis berkeliaran. Perlahan-lahan aku menutup mata. Rancak aku basahkan lidah aku dengan zikirullah. Aku buka mata dan memandang tepat ke dalam biji mata Taruddin yang berwarna hazel itu seraya berkata.

"Taruddin..kau ni dah berbelas tahun berkawan dengan aku. Nak aku rodok dengan kerambit, besar dosanya membunuh ni. Aku nak tanya kau, pernah dengar orang isi rokok dalam enjin kereta? isi rokok dalam enjin motor? Kau tahu ke tidak bahawasanya merokok tu adalah haram? Sahabatku...sebagai seorang manusia, aku sayang pada kau. Aku harap sangat kalau ada sedikit bangang dalam diri kau tu, kau simpanlah untuk diri sendiri. Jangan terlalu serlahkan sangat." 

Aku berlalu meninggalkan Taruddin terkebil-kebil dan menuju ke Masjid untuk solat Magrib. Keesokan paginya aku terima pesanan 'whatsapp' dari Taruddin.

"Hadri, malam tadi aku selesai khatam Al-Quran 30 Juzuk"

Terduduk bertahyat aku lalu terus bersujud dengan penuh kesyukuran. ALHAMDULILLAH.

1 comment: