Woih Like Lah!!!

Wednesday, October 16, 2013

Sahabatku Doktor

Biasanya bila cuti hujung minggu memang hari untuk berehat bagi aku. Rehat yang aku maksudkan ialah dengan menjadikan laptop dan tablet aku sebagai santapan rohani.

Aku mulakan santapan rohani pagi hujung minggu aku dengan membuka facebook. Selepas aku like lebih kurang 20 status merepek dan tidak membangun dalam frenlist aku, aku melawat pula blog terkemuka yang penuh caci maki fans JDT, Mata Pena Si Hitam. Selesai menulis 5 perenggan entri pasal kekalahan pasukan anak raja dari selatan tanah air itu, aku singgah pula di twitter. Retuit dua tiga potong hadis, kasik nampak sedikit berilmu dalam hal agama. Selesai.

Itulah kerja hujung minggu aku yang tenang dan aman. Tiba-tiba aku dapat pesanan dari seorang rakan di WhatsApp. Dia seorang doktor.

"Minggu depan kalau aku turun HKL, aku roger"

Wah..doktor nak lepak dengan aku ni woih. Dengan bangganya aku pun berceritalah pada Puan Feeza yang sedang melipat baju tentang sahabatku seorang doktor ini.

"Dia ni dulu duduk sebelah abang dalam kelas dari tingkatan 1 sampailah tinggkatan 5. Kami belajar  dan ulangkaji pelajaran di perpustakaan bersama. Siapkan kerja sekolah karangan Bahasa Melayu bersama. Petang-petang lepas tuisyen kampung kami juga akan turun ke padang untuk menyepak bola bersama. Eh, macam-macam lagilah activiti berilmiah yang kami lakukan"

Penat juga aku bercerita panjang lebar. Puan Feeza aku lihat dari tadi tenang. Sesekali aku dengar dia humming lagu 'Ayam Den Lopeh'. Kemudian dia berhenti humming dan bersuara dengan penuh lemah lembut.

"Habis tu kenapa abang tak jadi doktor jugak? Abang tu kerjanya buat huru hara dalam facebook. Merepek dalam blog. Kenapa tak ikut jejak kawan abang tu?"

Dengan tenang juga Puan Feeza kembali meneruskan kerja melipat baju.

Selepas mendengar hujah tersebut, aku bingkas bangun dan menuju ke bilik air. Aku berwuduk dan terus mendirikan solat sunat dua rakaat.

Dalam hati aku berbisik..."masih belum terlambat untuk aku menjadi mahasiswa sekali lagi"

No comments:

Post a Comment