Woih Like Lah!!!

Thursday, June 8, 2017

Drama Pesbuk Waktu Maghrib

Drama Pesbuk Waktu Maghrib.

Madison Street, New York: 6.45 PM.

Masa semakin suntuk. Waktu berbuka mungkin sudah berlalu. Namun perut Idlan Khozim masih belum terisi. Mukanya pucat bibirnya kering. Matanya merah cengkung ke dalam. Kelaparan. Sudah habis bakul sampah sekitar Madison Street ini diselongkarnya. Tiada sebarang sisa makanan ditemui.

Dia berjalan menyusuri kedai mencari-cari serpihan makanan barang secebis cuma. Kaki diheret kerana tiada daya hendak melangkah. Walaupun sengsara laparnya tiada tara, puasanya tetap terjaga. Marahnya terpelihara. Burungnya dibendung walaupun setiap pagi terpaksa menengok makwe New York berskirt pendek menayangkan peha nan putih gebu dengan baju koprat sendat ke pejabat masing-masing.

Longlai langkah Idlan Khozim terhenti apabila dia terbau aroma roti semerbak Izara Aisyah menerobos ke dalam lobang hidungnya yang mancung bak seludang. Dia menoleh pantas ke arah kedai tersebut yang kini betul-betul berada si sebelah kanannya. Tersergam papan tanda bertulis. 'JOHN SUNSHINE BAKERY'.

"Tidak boleh tidak aku musti rompak kedai roti ni. Perut pun kebulor nak mampos ni."

Idlan Khozim nekad. Tetapi dia tidak ingat bahawa perbuatannya itu menyalahi hukum Allah. Puasanya akan menjadi sia-sia. Ia umpama berpuasa tetapi mengumpat. Berpuasa tapi tak sembahnyang. Berpuasa tapi menengok instagram janda anak satu dengan renungan mendalam. Ermmss...Berpuasa tapi memaki presiden FAM. Ya, puasa itu akhirnya akan menjadi sia-sia.

"Keriuuuuuuuk...keting! keting! keting!"

Pintu kedai dikuak cermat oleh Idlan Khozim. Besi yang tergantung di pintu berlaga sesama sendiri. Bernada sayu menyambut kehadiran Idlan Khozim yang berbau hapak. Secara pantas bau tungkik tersebut memenuhi ruangan kedai. Setiap mata di situ kini fokus terhadapnya. Ada yang secara spontan terus menutup hidung. Ada juga yang kelam kabut mengeluarkan telefon pintar sedia untuk merakam sebarang aksi yang mungkin akan berlaku. Kemudian post di fesbuk dengan tajuk merepek menagih tular. Idlan Khozim jadi tak tentu arah.

Dia sedar dirinya perlu bergerak pantas. Sepantas halilintar. Matanya kini fokus pada dua buku Garlic Bread Berinti Cheese Berger. Satu biji untuknya. Satu lagi untuk sahabatnya yang penuh filosofi hidup iaitu Taruddin.

Lincah bagai pelesit kote. Eh kota. Idlan Khozim menyambar dua buku roti tersebut dan melompat keluar merempuh tingkap kedai. Bersepai cermin tingkap tersebut. Dia gagal mendarat kemas kerana kekurangan tenaga. Biasanya dia akan mendarat seperti Farah Ann Hadi. Kemas dan melentik. Idlan Khozim sempat menyapu serpihan kaca yang ada di bajunya. Mencabut kaca sebesar ibu jari yang melekat di kelopak matanya. Lalu dia bingkas berlari meninggalkan kedai tersebut.

Tuan punya kedai tidak membuang masa dan segera melepaskan 5 ekor anjing  Doberman Pinschers - Anjing yang sangat pintar dan setia. Mereka akan menjadi sangat aggresif jika di provokasi, mereka menyerang jika yang dia pikir itu ada berkaitan dengan milik ataupun keluarganya.

Idlan Khozim memecut laju apabila tersedar 5 ekor anjing sedang mengejarnya. Dia melintas jalan yang sesak tanpa menoleh kiri dan kanan. Lalu sebuah teksi melanggarnya. Mujur Idlan Khozim lincah. Mengapungkan berat badannya dengan graviti bumi supaya impak perlanggaran itu tidak teruk. Badannya tergolek ke belakang kereta. 5 ekor anjing tersebut masih memburunya sambil menyalak sakan.

"Kong! kong! kong!"

Idlan Khozim masih berlari kencang diekori rapat sekompolan anjing. Lebih kurang 5 langkah di hadapan Idlan Khozim ternampak putung rokok yang masih berapi di atas lantai. Apabila menghampiri putung tersebut beliau pantas menguisnya dengan tapak kaki lalu putung rokok itu melayang laju ke arah belakang dan tepat masuk ke dalam mulut salah seekor anjing Doberman itu. Ia tecekik dan mati sekelip mata. Padan.

4 ekor anjing yang lain terpinga-pinga melihat kawannya yang mati secara tiba-tiba. Namun mereka tetap meneruskan buruan selepas bagaikan terkena 'pause' selama dua saat. Langkah anjing berempat diatur seragam. Rahang masing-masing berjuntaian dengan air liur.

"Kong! Kong! Kong!"

Anjing berempat bernada garang dan lapar. Pantang mereka kedai roti tuannya dirompak. Jiwa sentimental sang anjing jangan diusik. Jangan berani dibuat gurau. Kelak membawa musibah dan padah.

Menyelinap lincah di celah-celah keramaian manusia ialah Idlan Khozim. Tenaganya mencanak naik secara luar biasa walaupun sedang berpuasa. Mungkin disebabkan motivasi ingin menyelamatkan nyawanya dari sakaratul sang anjing.

"Excuse me. Excuse me."

Idlan Khozim memohon laluan. Santun Melayu masih menjadi keutamaannya. Serta-merta laluannya dikuak. Di hadapannya kini ada sebuah bakul sampah. Apabila diamati secara teliti ia siap sekali dengan penutupnya. Akal Idlan Khozim pantas berfikir. Dicapainya penutup bakul sampah itu lalu dilempar ke belakang sambil dia meloncat dua pusingan di udara agar lontaran itu menjadi lebih kuat laju dan padu. Dilepaskan dengan hayunan penuh tenaga.

"Zuuuuuuup! Tang! Tang!"

Sasarannya tepat mengenai kepala dua ekor anjing rakus itu. Serta-merta ia koma di tempat kejadian. Beberapa warga New York yang berada di situ pantas mengeluarkan telefon pintar masing-masing dan mula merakam gambar anjing mati. Tak jauh beza benaknya otak orang putih dengan kita. Sama sahaja. Nampak orang mati rakam. Nampak orang eksiden rakam. Orang bergaduh rakam. Rakam dulu dan sebarkan. Lerai dan tolong itu kemudian. Yang penting berapa like dah share yang boleh dikumpul. Untung-untung boleh masuk Siakap Anjeng.

"Alhamdulillah..tinggal lagi dua ekor."

Lega kesyukuran dilafazkan oleh Idlan Khozim hanya di dalam hati. Lariannya masih kemas. Namun dua ekor anjing yang masih hidup itu cergas mengejarnya. Amarah dan dendam sang anjing makin meluap-luap.

"Pop!"

Malangnya Idlan Khozim secara tiba-tiba mengalami kecederaan belakang peha. Bunyi 'pop' itulah yang paling dia takuti. 5 tahun tidak berlari secara serius benar-benar membawa petaka. Tidak mampu memecut lagi Idlan Khozim membelok ke kiri yang membawanya kepada lorong mati.

Idlan Khozim berasa kaget tak tentu arah. Di hadapannya tiada jalan keluar dari cengkaman sang anjing. Dahinya mula berpeluh. Namun tidak pada telurnya yang masih mampu menahan gerun. Tiada setitis urine pun yang terpancut keluar. Akal lincahnya pantas teringat pada pesan seorang pendekar lama dalam sebuah kitab ilmu persilatan alam haiwan. Bab 4 baris kedua perenggan ketujuh (baca gaya Zakir Naik).

'Maka bacalah ayat-ayat ini dengan tekun dan bergaya. Nescaya anjing itu akan menggelupor'

Baris ayat seterusnya tertancap tepat pada bayangan di kepala Idlan Khozim. Seperti ada skrin sedang menayangkannya. Dia memejam rapat matanya. Kedua tangannya diangkat tinggi mengepak menjulang ke langit. Turun perlahan-lahan dengan jari telunjuk kiri dan kanan diletak tepat ke bahagian otak gaya jutawan mahsyur Azizan Osman.

Dua ekor anjing menjelirkan lidah seperti mengejek gerak gaya Idlan Khozim. Ia hanya menanti tindakan seterusnya dari manusia yang ligat itu. Tahap keyakinan anjing ini sudah sampai tahap 8. Tahap yang paling konfiden untuk menghabiskan riwayat mangsanya. Mereka menunggu dengan penuh eksyen sambil menggoyangkan ekornya secara serentak.

Idlan Khozim menarik nafas sedalamnya. Berombak dadanya seraya melepaskan satu dengusan kencang berserta dengan ayat pelindung diri dari cengkaman sang anjing.

🎶🎻Semua yang ada ada pada dirimu🎵🎸🔊🎶
🎵🔊Membuat aku ku aku jatuh cinta🙆🗄😥😙
😍💑🤳Come on baby say you love me📯💦☻🙌
🎶🎵👉💰🙌Love me say you love me❤💓💕💖

Tepat pada perkataan 'love' tersebut Idlan Khozim pun membuat simbol hati dengan merapatkan tangannya sambil jemari separuh genggam.

"Ewaah..ewaaah.." Bergelek sakan Idlan Khozim di hadapan anjing tersebut.

Tidak semena-mena kedua ekor anjing itu termuntah. Berketol-ketol darah beku membuak keluar dari mulut mereka.

"Bluuuuerrrrrrrrrrk!!!"

Bagaikan terkena santau, muka kedua anjing itu serta-merta menjadi pucat. Ia lalu tumbang dan tidak berkutik walau sekelumit.

Idlan Khozim tersenyum bangga sambil menimang Garlic Bread Berinti Cheese Berger dengan bahunya. Hajatnya untuk makan berbuka bersama Taruddin ala orang putih akan tercapai.

"Ini Idlan Khozim lah. Hanya anjing yang datang berkumpulan. Singa Aslan kalau dia datang sendirian. Heh!"


No comments:

Post a Comment