Palsu I
Pada satu hari Rabu yang redup dan menenangkan. Aku pergi ke Pasar Malam Seksyen 7 Shah Alam dengan tujuan untuk mencari makanan. Tiada niat yang lain, hanya untuk mencari makanan sahaja. Sedang aku meninjau juadah sambil terusha makwe-makwe UITM yang berhimpit-himpit di Pasar Malam, telefon tangan aku yang tidak berapa pintar berbunyi. Nama Taruddin tertera.
Lantas aku keluarkan diri dari kesesakan umat manusia tadi. Aku melangkah dengan penuh hati-hati mengelakkan diri daripada berlakunya pergeseran antara bukan muhrim. Kini aku berada betul-betul di sebelah kedai Laksa. Ramai makwe dekat sini. Aku tekan butang telefon. Suara garau ala-ala Tengku Adnan Mansor kedengaran di sebelah sana.
"Assalammualaikum...petang esok boleh tak aku jumpa kau. Nak mintak kau tulis pasal bola Johor lah dalam blog bola terkemuka Mata Pena Si Hitam tu. Nanti aku bagilah info yang aku ade"
Amboih bukan main senang si Taruddin ni order entri. Dah macam order teh ais dah aku tengok. Tapi aku tak menolak. Aku setuju dengan 'order' tersebut. Lagipun Taruddin ni baik orangnya. Apa yang dia boleh tolong, mesti dia tolong. Pernah satu hari aku ajak beliau ponteng kelas teman aku pergi Campbell cari kasut bola dengan kaset Metallica pun dia ikut. Tak banyak ragam. Tapi yang aku tak tahan tu sebagai balasannya aku kena teman dia tengok wayang filem Cinta Kolestrol. Katanya dia peminat Yusry. Ah syaitan betul.
Aku memutuskan talian telefon selepas kami sepakat memilih tempat berjumpa pada esok hari. Aku kemudiannya kembali menyambung aktiviti berhimpit-himpit di Pasar Malam sambil bersiul tenang menyanyikan lagu Yusry, Dekat Padamu. Ahhhhhhhh!!!
Bersambung...
*****************************
Palsu II
Tibalah pada hari yang dijanjikan oleh Taruddin untuk berjumpa dengan aku. Sementara menunggu beliau, aku mintak mamak Ayza tolong buatkan aku segelas teh tarik kurang manis demi menyahut seruan kerajaan supaya mengurangkan penggunaan gula dalam kehidupan seharian.
Sambil menunggu teh tarik, aku kaji wajah mamak dekat sini secara mendalam. Kesimpulan yang aku dapat ialah mamak dekat sini aku perhatikan masih tiada perubahan. Muka semuanya takde yang senonoh. Nak dapat tengok muka macam Arjun Rampal memang jauh sekali. Yang ada semuanya berwajah Patriot dan Putera. Mual.
15 minit kemudian.....
Taruddin tiba dengan penuh gaya setelah separuh teh tarik aku hirup. Janji tak ditepati. Penampilan beliau sudah banyak berubah. Memakai baju berkotak dan seluar jean ketat, aura maskulin era Inggeris tahun 60-an jelas sebati dalam persalinannya. Tidak cukup setakat itu sahaja, dia turut melengkapkan pesona diri dengan gaya janggut yang dilihat eksentrik pada pandangan mata orang Malaysia kecuali aku. Dari jauh serupa Wak Doyok.
Selepas kami berdua bermukadimah dengan bertanya khabar serta perkembangan antara satu sama lain, aku menyuruh Taruddin memulakan penceritaan bola Johor dia dengan segera. Aku buka laptop dan menaip apa yang beliau sembangkan.
Dari Nasir Yusof ke Khalid Shadan, membawalah ke Rizal Sukiman dan Rusdee Sulong. Habis semua kisah beliau ceritakan pada aku. Kebanyakannya semua itu memang celah gigi aku sahaja. Tetapi demi menjaga hati sahabat, aku kerut-kerutkan dahi ini sedikit supaya nampak macam pertama kali dengar kisah tersebut. Tibalah masanya untuk aku pula bertanya soalan kepada beliau.
"Okeh Taruddin, kalau pemain import pulak, yang mana satu paling engkau kagumi?"
Taruddin nampak teruja seperti lelaki terkena gambir. Dia dengan pantas menjawab separa menjerit.
"Sudah semestinya Pablo Aimar"
Menggigil kaki tangan aku mendengar jawapan yang keluar dari mulut Taruddin. Kali ini DNA kejahatan aku jelas berjaya menewaskan DNA kebaikan. Aku genggam kemas-kemas penumbuk kanan aku. Sambil aku mencarut di dalam hati dalam bahasa Tausug, satu tumbukan padu aku lepaskan ke leher Taruddin tepat mengenai halkum beliau. Aku tinggalkan Taruddin dalam keadaan terlentang dan berbuih mulut.
"Dasar PALSU"
No comments:
Post a Comment