Selain mem-forward benda bangang seperti perihal Upin dan Ipin. Aku perhatikan orang Malaysia sangat ghairah menge-share gambar orang mati. Apa sebenarnya yang bermain di kepala hotak mereka?
Sekitar tahun 2007 dahulu heboh dengan isu sebaran gambar post mortem Al-Marhumah Nurin Jazlin di dalam email. Hujung tahun lepas pula seluruh laman maya terpampang gambar staff Am Bank yang mati ditembak perompak. Kenapa benda ini berulang lagi?
Sudah tentu tiada keluarga yang ingin disebarluaskan gambar jenazah ahli keluarganya yang meninggal dunia terutamanya jika ia dalam keadaan tidak menyenangkan. Sebelum engkorang sebarkan gambar si mati, cuba tanya diri sendiri. Kalau gambar engkorang mati macam mana? Sanggup bagi orang lain jaja merata?
Justeru, ia dikira adalah hak peribadi yang bersifat persendirian atau ‘private and confidential'. Hasilnya, penyebaran ini dikira membuka dan mendedahkan rahsia orang lain yang tidak diizinkan oleh Islam untuk dilakukan. Ia juga mencarikkan maruah si mati dan keluarganya.
Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam ada berkata :-
"Hak setiap Muslim ke atas Muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya" ( Riwayat Muslim dan At-Tirmidzi).
Selain itu kita juga selalu disajikan dengan gambar-gambar jenazah yang mati dalam keadaan tersenyum. Hati mukmin mana yang tidak cemburu apabila mendapat tahu seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah. Apatah lagi apabila dibuktikan dengan foto-foto. Kadang-kadang tersebar di dalam masyarakat akan foto orang yang meninggal dunia dalam keadaan tersenyum atau riak wajahnya seakan-akan sedang ketawa. SubhanALLAH!
Tapi awas! Jangan terlalu cepat percaya dan menyebarkannya. Lebih mendatangkan kerisauan jika ada yang menyebarkan foto-foto tersebut lalu mengaitkannya dengan kebenaran Islam. Bagaimana kita yang berada di Malaysia ini boleh betul-betul membuktikan gambar itu gambar yang sahih? Gambar di Palestin dikatanya dari Syria. Berapa peratuskah kebenaran sekeping gambar yang jauhnya beribu kilometer dari rumah kita?
Andai kata gambar itu adalah tidak benar dan palsu. Lalu mereka mendakwa pula ia adalah foto manusia yang mati dalam iman, mati dalam kebenaran atau mati dalam perjuangan Islam. Tujuannya mungkin baik (atau pun mungkin juga jahat), tapi cara tersebut memang sah salah!
Tentu ada yang berkata: “Apa salahnya sebarkan gambar tersebut untuk tujuan kebaikan walau caranya salah?”
Ia salah yang besar apabila engkorang mengaitkannya dengan kebenaran Islam. Ia salah apabila engkorang kaitkannya dengan perjuangan agama nan suci. Kerana kelak apabila umat manusia tahu bahawa gambar-gambar yang engkorang jadikan sokongan itu merupakan bukti palsu, maka akan terpalitlah juga kepada Islam. Islam tidak perlukan sokongan dari dakwaan-dakwaan palsu dan gambar-gambar rekaan. Islam itu kukuh dengan kata-kata ALLAH dalam Al-Quran dan kata-kata RasulNYA sebagaimana terkumpul di dalam hadith-hadith.
Isu sebegini sebenarnya sudah banyak kali timbul dalam umat Malaysia. Dan aku rasa peringatan ini mesti diteruskan walaupun berulang kali dikeluarkan kerana manusia memang begitu sifatnya. Lupa dan kadang-kadang nakal macam hero drama waktu maghrib.
Berhentilah dari perbuatan yang tidak menguntungkan ini. Dan buat yang menerima foto-foto atau maklumat seperti ini, fikir banyak kali sebelum menyebarkannya. Lebih baik engkorang menyebarkan sesuatu yang benar-benar sahih seperti ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam, daripada engkorang menyebarkan sesuatu yang belum pasti dan yang terbit dari sangka-sangka sahaja.
No comments:
Post a Comment