Woih Like Lah!!!

Wednesday, January 7, 2015

Malaysia Negara Borang Bermula Dari Celik Mata Sampailah Menutup Mata - Bahagian I.

Malaysia Negara Borang Bermula Dari Celik Mata Sampailah Menutup Mata - Bahagian I.

Aku pergi ke salah sebuah cawangan KWSP untuk kemaskini penamaan. Sesampai sahaja aku disuruh isi sehelai borang. Siap isi aku tunjukkan pada penjaga nombor/kaunter. Ade kesilapan sedikit. Dia kata "Tidak mengapa wahai anak mude cuma perlu initial dekat tepi". Saksi? Aku tak bawak pulak. Jadi aku disuruh pergi berjumpa dengan pesuruhjaya sumpah. Baiklah aku pergi.

Selang beberapa bangunan ada satu pejabat pesuruhjaya sumpah. Belum bukak. Masa ni lebih kurang pukul 9.00 pagi. AKu tanya pada orang yang ada dekat situ, pukul berapa bukak pejabat ni? Pukul 10 katanya. Yollaaaah. Cuma yang bestnya ada papan tanda 'Will Return 3.30'. Bajet papan tanda macam Rambo. Heh!

Jalan punya jalan. Ada satu lagi pesuruhjaya sumpah dalam bangunan UMNO Si Pejuang Bangsa Melayu. Aku naik tangga. Belum sampai lagi orangnya. Nama beliau ialah Encik Yunos Jamil. Waktu berurusan ialah dari jam 9.00 pagi sehingga 4.00 petang. Sekarang baru jam 9.10 pagi. Mungkin masih awal bagi beliau. Aku turun bawah kejap sambil-sambil melakukan pemeriksaan percuma ke atas bangunan UMNO ni. Ada pejabat Pemuda UMNO. Tapi kosong lagi. Ada jugak pejabat Rakan Muda. Macam dah lama tinggal. Aku tolak pintu dia...

"Kriooooookkk..." Bunyi daun pintu berkarat. Ada rasa seram. Nampak benor dah lama tak berpenghuni.

Puas jalan-jalan sekitar, aku naik semula ke pejabat Encik Yunos Jamil. Dia sudah mari. Amek cop pesuruhjaya sumpah. Dia tanya kepada aku dengan senyuman semanis tebu.

"Ini yang salah tulis ni boleh ke? Takpe keeeeee...?"

"Dekat kaunter nombor tu kata okay asalkan ada initial"

"Ooo..takpelah gitu. Bukannya ape. Kadang tu dekat kaunter nombor cakap lain, dekat kaunter urusan cakap lain, datang supervisor pulak nanti lain lagi dicakapnya."

Ambek cop setel. Pergi balik KWSP, amek nombor. Tak lama lepas tu nombor dipanggil. Aku melangkah jitu ke kaunter urusan. Nah!!!

"Tak boleh ni ada silap. Kena isik borang sekali lagi. Lepas tu amek cop pesurujaya sumpah semula. Kemudian baru datang ke kaunter sini balik"

Baiklaaaaaaaaaaah!!!

"Haaaa..amacam?" Sambil angkat-angkat kening Encik Yunos Jamil tersengih-sengih bila nampak aku datang semula dekat pejabat dia.

Selesai segala urusan aku termenung jauh. Saaaaaangat jauuuuh. Sejauh Hawai, Abu Dhabi dan Hong Kong.

Kenapa jabatan dan agensi kerajaan masih ada mengenakan prosedur yang terlalu rumit termasuk penggunaan pelbagai borang bagi sesuatu permohonan hingga menyulitkan orang ramai?

Aku berpendapat anutan seperti ini perlu diubah terutamanya apabila komputer serta pelbagai kemajuan IT kini digunakan secara meluas dan sudah tentu kita mahu mengurangkan penggunaan kertas dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan awam seperti yang seringkali diwar-warkan oleh kerajaan kita.

Jika nak luluskan sesuatu, apakah pelanggan iaitu orang ramai perlu empat atau lima muka surat borang? Apakah pula banyak bahagian yang perlu dirujuk atau disahkan sebelum ia mula diproses?

Semua ini perlu dipendekkan dan dipermudahkan. Sekarang kita sudah gunakan komputer beharga RM80 ribu dan bukan lagi mesin taip. Kita juga menggunakan pencetak warna bernilai RM11 ribu dan bukan mesin gelek kertas yang akhirnya melekat penuh dakwat hitam pada jari. Jadi...Ia sepatutnya membantu mempercepatkan kerja. Bukankah begitu wahai adik kakak sekalian alam?

Lagik 5 tahun nak ke WAWASAN 2020 woih!!! Apa kata Mahathir pulak kalau kita gagal laksanakan WAWASAN 2020 beliau ni? Heh!!!

No comments:

Post a Comment