Woih Like Lah!!!

Tuesday, February 4, 2014

ANANIYAH: BARAH MASAKINI YANG MERBAHAYA

Itu hari aku dah cerita pasal bahayanya Ghibah di sini. Kali ini mari kita nengok sifat tercela yang lain pula iaitu ANANIYAH. 

ANANIYAH adalah antara penyakit yang paling sukar diubati di kalangan umat Islam masakini dan ia semakin membarah di dalam diri. 
  
Ananiyah (aku dan keakuan) adalah penyakit hati yang lebih mementingkan urusan atau kepentingan peribadi dan tidak ambil peduli dengan kepentingan orang lain atau masyarakat awam. 
  
Golongan ini melihat sumbangan orang lain begitu kecil hanya dengan pandangan sebelah mata dan mengambil tindakan-tindakan yang biasanya hanya didorong oleh kehendak nafsu sendiri (egoistik). 
  
Antara contoh ananiyah ialah: 

1) ANANIYAH dengan pendapat dan kehebatan diri sendiri.

2) ANANIYAH dengan kumpulan dan jamaahnya sendiri. 

3) ANANIYAH dengan keturunannya. 

Ini adalah sebahagian contoh sahaja. Masih banyak sifat ANANIYAH yang terjadi kepada diri kita tanpa kita sedari. 
  
Tapi ada yang lebih bahaya lagi apabila menganggap seolah-olah bahawa hidayah itu adalah miliknya atau hanya amalannya atau kumpulannya sahaja yang terpuji dan seolah-olah hanya sumbangannya sahaja yang paling hebat dan diterima. 
  
Sifat ananiyah ini sering menimbulkan sikap permusuhan di kalangan umat Islam dan sikap permusuhan seperti ini tentunya sangat dibenci oleh Allah swt. Tidakkah mereka sedar kemenangan umat itu letaknya pada kekuatan keimanan dan kekuatan persaudaran? Hanya mereka yang mampu berjiwa besar dan berdada luas yang akan berjaya meraih kemenangan yang dicita-citakan. 
  
Ingatilah firman Allah swt yang bermaksud : 
  
“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.” [Surah Luqman, ayat 18] 
  
Semoga kanser yang membarah di dalam jiwa umat ini diubati dengan sifat ‘itsyariyah’ iaitu rasa kebersamaan, kepekaan sosial di dalam kehidupan seharian sehingga kita akan mendahulukan kepentingan masyarakat, kemuliaan Islam dan masa depan umatnya walaupun kadang-kala ianya memerlukan pengorbanan daripada diri sendiri dan organisasi yang diwakiliya. 


Dipetik dan diubahsuai dari: http://zainurrashid.com/ananiyah-kanser-yang-membunuh-umat-kini/ 

No comments:

Post a Comment