From Amerika With Love: Sauk
Taruddin sedang memandu kereta membelah kemeriahan malam di kota New York. Di dalam Bugatti Veyron berwarna biru putih itu yang dipandunya menuju ke bandar Manhattan, kelihatan Idlan Khozim masih dalam keadaan geram.
"Kita nak pergi mana ni Idlan Khozim?," tanya Taruddin dengan penuh steady sambil menyalakan dua batang rokok dengan hanya siku yang mengawal stereng. Sebatang rokok lagi dihulurkan kepada Nathalie Durand yang sedang leka dengan telefon pintarnya. Kelihatan seperti sedang membeli barangan keperluan wanita secara atas talian. Sesekali Taruddin memandang Idlan Khozim melalui cermin pandang belakang.
Idlan Khozim tidak menjawab dan hanya merenung mata Taruddin di cermin pandang belakang. Pertentangan mata dengan Idlan Khozim itu menyebabkan Taruddin telan air liur dan terkernyih-kernyih. Wajahnya juga menjadi pucat. Rokoknya dihisap laju-laju lalu dicampakkan keluar tingkap baki rokok yang masih ada separuh itu. Taruddin memegang kemas stereng Bugatti Veyron. Debaran di dadanya kian laju.
Lagu Sheila Hamzah berkumandang di radio Bugatti Veyron Taruddin. Kalau sebelum ini, semasa bahagian korus Taruddin akan tarik 'retak seribuuuuu hatikuuuuu' satu kali sampai tidak mengira ke waktu azan. Itu belum lagi lagu baru Sheila Hamzah, Masih Aku Cinta. Tapi kali ini perkara tarik itu tidak berlaku kerana Idlan Khozim yang bermuka bengis ketika ini berada di belakangnya.
"Kau tahu Idlan Khozim? Melihat pada keadaan Manchester United sekarang, kalaulah aku Tengku Mahkota Manchester. Aku akan tukar Manchester City menjadi Manchester United I dan Manchester United itu menjadi Manchester United II. Semua ini akan menyatupadukan kembali penduduk Manchester yang berpecah belah. Amacam idea aku?," soal Taruddin secara tiba-tiba sambil mengangkat kening sebanyak 3 kali.
Idlan Khozim menggeleng kepala 4 kali. Dia menjadi makin naik angin dan berkerut seribu mendengar kenyataan Taruddin tersebut. Bukankah idea ini adalah bangang. Yang peliknya ada yang setuju pulak tuh.
Apabila Bugatti Veyron melintasi kedai makan 21 Club yang letaknya satu baris dengan kedai Sushi, Idlan Khozim memegang bahu Taruddin dengan penuh bertenaga. Taruddin menggigil seperti terkena kancing gigi dan serta merta teringat arwah moyangya.
Ditangkapnya kepala Taruddin dan dihantuknya ke batang gear. Pong!!!
Kepala Taruddin pesuk. Darah merah pekat yang hangat memancut ke bumbung kereta. Di dalam keadaan kereta yang terhuyung-hayang tidak dikemudi sesiapa itu, Idlan Khozim masih belum puas. Dia menarik brek tangan sehingga brek tangan itu berdiri tegak seperti batang gear. Serta-merta Bugatti Veyron Taruddin terkunci tayar belakangnya lantas menyasar dan hampir mengenai pembahagi jalan. Idlan Khozim lega.
Kemudian dia menyambung kerjanya iaitu merodok leher Nathalie Durand yang masih tergamam menggunakan kerambit pusaka.
Zrrraaas!!! Darah hanyir memancut keluar.
Idlan Khozim keluar dari kereta meninggalkan Taruddin yang kepalanya tersangkut ditembusi batang gear seperti sate dan Nathalie Durand yang terkulai lehernya . Bau hangit tayar Bugatti Veyron dan bau darah yang hanyir menyelubungi kawasan itu.Idlan Khozim melangkah perlahan-lahan ke arah kedai makan 21 Club. Kereta-kereta yang menghujankan hon kepadanya langsung tidak dihiraukan.
Sementara itu, orang ramai yang berada di situ menjadi havoc dan melaungkan takbir beberapa kali. Selain beberapa orang yang muntah pelangi. Ada juga di antara mereka yang bertindak membaling batu ke arah Idlan Khozim. Namun apabila Idlan Khozim memusingkan kepala memandang mereka, mereka pakat-pakat memandang ke arah bangunan Empire State, seperti tiada apa yang berlaku. Idlan Khozim senyum nipis.
No comments:
Post a Comment