Woih Like Lah!!!

Monday, July 8, 2013

Pejabat Pos

Aku selaku seorang yang masih mempunyai sifat konservatisme yang tebal dalam diri memang suka berurusan secara terus ke kaunter berbanding secara online. Ya walaupun nampak kuno tapi ia masih lagi praktikal untuk sesetengah manusia seperti aku.

Pagi tu aku becadang nak masukkan sedikit duit dalam tabung haji anak aku. Dengan tenang aku ambil nombor giliran dan tunggu dipanggil. Sampailah giliran aku. Aku berjalan ke arah kaunter dengan langkah kaki yang kemas bagaikan seorang peragawan Victoria Secret sambil aku lontarkan satu senyuman semanis kurma madu. Korang jangan ingat aku senyum sebab muka petugas kaunter tu iras-iras Kilafairy pulak.

Sesampai di kaunter aku sempat melihat nama petugas tersebut.."Syafa Aqira". Macam biasa dengar. Ahhh pedulikkan!! Aku serahkan borang tabung haji. Syafa Aqira tatap borang tu lama-lama. Masih tidak key-in sebarang data ke dalam sistemnya. Tiba-tiba dia bersuara.

"Nur Hasya Zafira binti Muhammad Hadri. Amboih panjangnya nama" - Zasssssss....satu das tembakkan depan-depan yang aku langsung tak terduga. Sambil-sambil tu juga Syafa Aqira ni rakus menggerakkan jarinya di atas keybord murah jenama HP di atas mejanya itu.

Aku masih tenang. Manusia berjiwa murni macam aku ni kena kuat bersabar. Entah kenapa tiba-tiba aku tergerak nak mintak borang tabung haji dan mara yang sudah kehabisan stok dekat rumah aku.

Aku tarik nafas dalam-dalam dan dengan nada tegas tapi masih sopan aku lontarkan permintaan aku itu..

"Cik, mintak borang tabung haji dengan mara dalam 10 keping"

Syafa Aqira merenung mata aku dengan tajam macam nak telan aku pun ada. Dunia aku rasakan penuh dengan guruh berdentam-dentum. Kalau dia tak nak bagi borang itu pun aku redha saja ketika ini. Syafa Aqira pun membalas permintaan aku dengan satu lagi jawapan yang membuatkan ulu hati aku terasa pedih.

"Waaaaah..banyaknya!!!"

Aku kaget sedikit dengan jawapan Syafa Aqira itu. Tetapi otak aku yang cerdas bak kancil ni terus berfikir apa yang aku perlu lakukan. Aku pandang kalendar kuda cina di dinding, jelas menunjukkan Ramadhan makin hampir. Jadi aku tak boleh tumbuk rusuk Syafa Aqira ni laju-laju.

"Ada had ke mintak borang tu? Percumakan? Ke saya kena bayar?" - aku keluarkan sekeping duit RM100 yang masih kuat bau banknya sambil aku hayun-hayunkan wang tersebut gaya Barney Stinson di 'strip-club'.

Aku lihat wajah Syafa Aqira muncung mencuka. Aku ambil resit dan segala borang yang aku minta tadi. Sebelum berambus...

"Selamat Ramadhan Syafa Aqira. Kirim salam pada Firash Arshad"

Aku syak muka Syafa Aqira bertambah kelat selepas itu. Sekarang baru dia tau siapa lebih annoying.

No comments:

Post a Comment