Dua Ramadhan
Aku tidak bekerja dan tugas mengasuh Hasya dan Hilman aku pikul dengan penuh dedikasi dek kerana pengasuh mereka nak amek report kad anak katanya.
Awal pagi lagi aku dah bagi mereka makan. Corn flakes dengan susu strawberry. Aku sertakan juga sepasang cokelat kit kat buat mereka. Kami bertiga mengambil tempat di hadapan tivi. Alat kawalan jauh aku tekan. 1. 2. 3. Nah ko Malaysia Hari Ini. Kelihatan anak Kak Ton, Nadia Anuar sendang 'on air'.
Aku perhatikan secara mendalam pergerakan mulut Nadia Anuar, seorang janda beranak satu. Mujur aku tersedar sekarang bulan Ramadhan. Jadi aku pendekkan sahaja renungan aku itu tadi.
"Hasya tak nak ni. Nak katun."
"Kejap. Kejap," dengan muka tegas aku membalas.
Sementara itu Hilman sudah mula sepah-sepahkan corn flakes di atas lantai. Aku yang tidak sukakan pembaziran terus mengutip dan meniup corn flakes tersebut dengan penuh cermat dan sayu. Lalu aku suapkan ke dalam mulut aku. kali ini aku kunyah ia dengan perlahan dan nikmat tak terperi.
Aksi Hilman tidak terhenti di situ sahaja. Dia dengan pemurah menghulurkan pula kit kat kepada aku. Aku sambut dengan penuh hormat. Tanpa ada sebarang halangan aku masukan pula kit kat ke dalam mulut aku. Dan kini mulut aku sudah penuh dengan kit kat.
"Selamat berpuasa diucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia yang mana hari ini merupakan hari kedua di bulan Ramadhan," terbeliak mata aku mendengar ucapan Nadia Anuar.
Tiba-tiba bayangan imej secara slide berlayar di hadapan aku. Kelihatan aku menyuap dan menelan corn flakes serta kit kat dengan penuh nikmat.
"Puasa ye bang..jangan tak puasa," sekali lagi Nadia Anuar bersuara di kaca tivi. Namun nadanya kali ini lebih menghiris jiwa.
Posted via Blogaway
No comments:
Post a Comment